PEMBONGKAR BUKU
Wednesday, March 4, 2015
Friday, February 27, 2015
Tuesday, February 24, 2015
CARA BIJAK RASULULLAH SAW DALAM MENDIDIK ANAK
BONGKAR BUKU
SIRI: #8
TAJUK: CARA BIJAK RASULULLAH
SAW DALAM MENDIDIK ANAK
PENULIS: NUR KHOLISH RIF’ANI
PENERBIT: PERNIAGAAN JAHABERSA
RUMUSAN:
Buku ini bagi saya matlamatnya sama dengan buku “Hebatnya
Cara Rasulullah Mendidik” tapi pendekatannya berbeza. Kalau buku HCRM lebih
menfokuskan dalam konteks menyampaikan ilmu, tapi buku CBRDMA ni lebih menumpu
dan lebih fokus kepada sesuatu isu. Apa isunya? Isunya memfokuskan kearah
pembentukan anak yang soleh.
Buku ini menitipkan penumpuan pendidikan secara
peringkat usia iaitu dari peringkat benih dipancarkan ke dalam rahim
sehinggalah seorang anak itu berusia 18 tahun. Peranan ibu dan bapa dalam
mengembangkan intelektual dan ke-solehan seorang anak itu juga ada disentuh di
dalam buku ini secara terperinci. Setiap darinya di hadirkan dengan sokongan
dalil dari alQuran dan hadith rasulullah saw dan ianya bagi saya sangat
bertepatan.
Penulis begitu teliti dalam menjelaskan kaedah
pendidikan yang selari dengan tuntutan islam dalam membentuk seorang anak yang
soleh dan solehah. Selain itu ia memberi banyak input kepada ibu dan bapa dalam
mengenal karekter anak dalam mendidik mereka. Tahap pendidikan di pecah kan
mengikut usia anak dan setiap tahap usia, cara didikannya juga berbeza. Dan
buku ini telah memberi formulanya untuk setiap tahapan usia dan ianya sangat
baik untuk dirujuk.
Antara bahagian buku ini yang paling saya minati ialah bab dimana penulis menyentuh jenis-jenis
keperibadian anak yang mana beliau pecahkan kepada beberapa jenis iaitu
kolerik, sanguinik, melankolik dan phlegmatik. Ini merupakan perkara baru bagi
saya dan ia sangat bermanfaat untuk saya memahami karakter seseorang anak.
Tahniah buat penulis dengan penghasilan beliau.
KOMEN:
Tak banyak yang
boleh saya komen kerana buku ini bersesuaian dengan tajuk dan cara
penulisannya. Maklumat yang diberi juga sangat mudah difahami dan tidak meletakkan
sebarang istilah-istilah pelik yang memerlukan pembaca untuk membuat rujukan
ditempat lain pula.
Hanya pun kalau
ada ialah penggunaan ayat al-quran yang berulang-ulang dalam menjelaskan
sesuatu perkara atau keadaan. Penulis menggunakan ayat 6 dari surah at-tahrim
berulang-ulang kali pada perbincangan yang sama. Namun tidak memberi sebarang masalah
dalam pembacaan.
RATING:
Buku yang baik
untuk pembacaan dan rujukan dan saya yakin ia akan menjadi pelaburan yang
berbaloi-baloi.
Monday, February 23, 2015
MOTIVASI NAFSIYAH
BONGKAR BUKU
SIRI: #7
TAJUK: MOTIVASI NAFSIYAH –
PENGOKOH JIWA NAN GUNDAH
PENULIS: M. RAHMAT KURNIA DAN
M. IWAN JANUAR
PENERBIT: AL AZHAR FRESH ZONE
PUBLISHING
RUMUSAN:
Tak banyak buku macam ni di pasaran Malaysia tapi
bukanlah bermakna takda. Ada, Cuma kurang. Di Malaysia banyak buku berbentuk
motivasi tapi tidak banyak yang bersifat mengukuh, cuma bersifat membangkitkan
sahaja. Setelah baca, selang beberapa hari dah sejuk balik. Buku ni lain la.
Walaupun tajuknya guna perkataan motivasi, tapi hala tuju penulisannya lebih
bersifat mengukuh.
Dalam topik menikmati kekhusyukan solat misalnya,
kita bukan sekadar diceritakan apa itu khusyuk, apa itu keindahan khusyuk tapi
kita juga dipersembahkan dengan penelitian khusyuk. Penelitian dari setiap
gerak geri kita dari sebelum kita nak solat, ambil wudhu, ketika solat dan
sampailah kita selesai solat. Jadi ini sangat asing dalam penulisan di
Malaysia. Oh ya, sebelum terlupa, buku ni di tulis oleh warga indonesia.
Mungkin ada yang masih belum biasa dengan perkataan
nafsiyah. Nafsiyah ni merujuk kepada pola sikap seseorang. Jadi sikap seseorang
ini kalau difahami dengan sebenar-benarnya merupakan suatu yang boleh dikawal
dan dipandu. Kita semua ada pola sikap masing-masing. Yang membezakan kita
adalah, apa yang memandu pola sikap kita tadi. Adakah kita dipandu oleh islam
atau bukan? Kalau nak tahu bagaimana untuk memahami apa itu pola sikap atau
nafsiyah, tuan-tuan kena belajar la.
Jadi buku ni merupakan satu bentuk motivasi kepada
kita untuk bersikap sebagaimana sikap yang sebenar selain daripada ia memberi
keyakinan kepada kita untuk tetap istiqamah dalam membentuk pola sikap kita
mengikut landasan yang betul.
KOMEN:
Saya sangat
menggemari buku ini dan saya yakin, kepada sesiapa saja yang membacanya pasti
akan menemukan sesuatu yang baik dari buku ini. Setiap buku pasti ada
kelemahannya, cuma yang ini pada saya tidak begitu ketara kelemahannya, tak
tahulah kepada pembaca yang lain. Buku ni juga dicetak di indonesia dan yang
menariknya, buku ini ada 252 m/s tapi sangat ringan.
Saiz font dan
spacing yang digunakan juga sangat membantu dalam pembacaan. Tidak terlalu crowded
dan menyesakkan.
RATING:
Buku yang baik
bagi mempersiapkan diri para muslim untuk menjadi muslim yang baik dan
berakhlak mulia. Boleh saja menjadi titik kebangkitan nafsiyah islamiyah di
dalam diri setiap muslim.
Sunday, February 22, 2015
HEBATNYA CARA RASULULLAH MENDIDIK
BONGKAR BUKU
SIRI: #6
TAJUK: HEBATNYA CARA RASULULLAH
MENDIDIK
PENULIS: RAZALI SAARAN
PENERBIT: MUST READ SDN BHD
RUMUSAN:
Semua sudah maklum bahawa cara rasulullah saw
mendidik itu hebat, jadi penggunaan tajuk ni saya rasa berlaku duplikasi fakta.
Walau bagaimanapun, tu je bagi saya yang agak sedikit defect sebab bila baca
ternyata di dalamnya sangat memberi kesan. Jika kita baca tajuk sahaja, mungkin
ramai yang menyangka sudah mengetahui apa yang diceritakan, tapi percayalah,
isinya tak sama macam yang kita rasa.
Misalnya begini ya, semuanya tahu bahawa rasulullah
itu akhlaknya sangat baik, tapi bagaimana yang dikatakan baik tu? Lain orang
lain tafsirannya. Persoalannya, yang mana satu tafsiran yang tepat? Ha! Macam tu
lah keadaannya buku ni dan saya dapati cara penafsiran yang dilakukan sangat
baik.
Baiklah, memang sukar untuk kita membentuk seorang
guru yang baik dalam keadaan sekarang. Keadaan dimana segala-galanya lebih
memfokuskan kepada material sehingga guru juga melakukan sesuatu tugas juga
atas dasar keuntungan. Guru yang saya maksudkan bukan hanya guru di sekolah
atau pusat pengajian ya, seorang ibu dan bapa juga merupakan guru. Tapi seorang
guru mesti memberi lebih tumpuan la sebab awak semua memang sudah berada di
dalam bidang tersebut.
Baiknya buku ini ialah, ia membongkar sisi lain
kefahaman kita sebagai pendidik. Kalau sebelum ni kita lakukan satu-satu
perkara kerana manfaat dunia, kini kita lakukan kerana adanya manfaat akhirat.
Dan yang paling penting ialah bila kita sedar bahawa kita melakukannya kerana
ia adalah tanggungjawab yang telah diamanahkan. Jika ini sikap para pendidik,
saya yakin, para penuntut pasti akan mendapat untung darinya.
Buku ini membentang banyak kriteria pendidik
sebagaimana yang dipraktikkan oleh rasul saw, dan penjelasannya juga sangat
detail. Sekiranya para pendidik merasakan perlu untuk menjadi pendidik yang
sebenar maka buku ini boleh dijadikan rujukan. Jadi, bertindaklah sebagaimana
yang kalian rasa perlu dan penting.
KOMEN:
Baik kupasannya cuma
tajuk sahaja bagi saya sedikit tidak tepat sebagaimana saya nyatakan diatas
tadi. Selain itu, saya tak rasa ada banyak yang perlu dikomenkan. Cuma satu
yang saya nak cadangkan ialah supaya penulis menyambung karyanya ini. Tapi kali
ini fokus kepada ilmu yang rasul saw ajarkan kepada para sahabat pulak. Kupas
idea yang dibawa oleh islam dalam isu pendidikan. Kerana bagi pendapat saya,
jika pendidik memiliki kaedah mengajar dengan baik, tapi ilmu yang diajar itu
tidak sebagaimana yang islam ajarkan, sudah pasti tidak mendatangkan manfaat
yang besar kepada penuntutnya.
RATING:
Buku yang baik
bagi mempersiapkan diri para pendidik sebelum benar-benar terjun dalam bidang
pendidikan. Yang bakal jadi ibu dan bapa juga bagi saya mesti baca buku ni.
ASMAUL HUSNA - APA YANG PERLU ANDA TAHU
BONGKAR BUKU
SIRI: #5
TAJUK: ASMAUL HUSNA – APA YANG
PERLU ANDA TAHU
PENULIS: MOHD SYAMIL MOHD
YUSUFF
PENERBIT: MUST READ SDN BHD
RUMUSAN:
Entah dimana nak mula pun saya tak tahu sebenarnya.
Selesai membaca buku ni saya terfikir, adakah hanya saya yang merasakan begitu
atau ada juga orang lain merasakan perkara yang sama. Terlalu banyak persoalan
yang dilemparkan oleh penulis di dalam buku ini. Saya secara peribadi amat suka
buku yang ada timbulkan persoalan-persoalan sebegitu, sebab umpamanya kita sedang
berinteraksi dengan penulis. Cuma masalah saya tentang buku ini ialah, ia tidak
memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan. Makanya kita
tak dapat nak tahu samada penulis memang ada jawapannya atau tidak.
Buku ni penuh dengan contoh-contoh yang diambil
dari penulisan penulis atau tokoh-tokoh profesional. Sudah selayaknya lah
begitu sebab ia untuk menyokong hujah yang kita sampaikan. Cuma masalah saya
ialah contoh-contoh yang digunakan banyaknya datang dari tokoh dan penulis
barat, sedangkan tokoh dan penulis islam juga ada ramai dan karya mereka
sebenarnya jauh lebih baik berbanding karya orang barat ni. Tokoh-tokoh berjaya
pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat ra juga sangat banyak dan
berkualiti. Jadi dalam kita nak cerita tentang nama-nama Allah ni, selayaknya
tokoh-tokoh ilmuan islam inilah yang sepatutnya diangkat oleh penulis.
Terdapat beberapa perkara yang saya rasa agak
tergantung, seperti perbincangan tentang topik “Bagaimana 99 ‘Habits’ Benar-benar Universal?” Topik ini tidak
dibincang dengan lengkap. Saya secara peribadi merasa sedikit keliru dengan
contoh tentang sebuah keluarga yang nak keluar pagi untuk menjalankan aktiviti
harian tiba-tiba timbul perkara-perkara yang menyebabkan mereka lewat ke tempat
urusan masing-masing. Anak lambat sampai sekolah, ibu dan bapa ada masalah
dalam nak menyampaikan diri di pejabat jadi saya tidak nampak apa relevannya
kisah itu. Penulis sepatutnya guna contoh yang lebih berimpak tinggi seperti
kisah nabi dan kisah para sahabat. Banyak lagi sebenarnya contoh yang ada
diluar sana untuk menjadi dokumen sokongan, tapi perlu kepada pengkajian yang
lebih detail lagi.
Cuma satu je, dalam buku ini aspek susunan kata
boleh dipuji. Cuma kata-katanya sahaja bagi saya secara peribadi sukar untuk
hadam. Apa-apa hal pun, effort yang baik tapi perlu diperkemaskan lagi.
KOMEN:
Hampir sahaja
saya ada perasaan menyesal membaca buku ini. Namun saya keraskan juga iltizam
dan alhamdulillah buku ni dapat saya habiskan. Mengangkat orang barat sebagai
contoh untuk diteladani bagi saya bukan langkah yang wajar. Kajilah buku-buku
penulisan daripada ilmuan islam yang banyak terdapat di pasaran dan gunakan
agar islam tidak hanya tinggal pada ilmu pengetahuan sahaja, tetapi juga ilmu
yang bermanfaat. Apatah lagi, topik kupasan adalah berkenaan dengan nama-nama
Allah (Asmaulhusna), maka selayaknyalah diangkat tokoh dari kalangan umat Islam
itu sediri.
Selain itu,
terdapat beberapa aspek asas yang diselitkan tidak selari dengan pandangan yang
saya pegang yang saya fikir lebih kuat. Tapi bagi saya selagi mana ada dalil dari
alquran dan assunnah sebagai sandaran walaupun lemah, bagi saya kita patut
berlapang dada.
RATING:
Saya tidak rekemen
untuk buku ini dijadikan sebagai pilihan utama. Tapi kalau dah habis segala
buku dibaca, boleh sahaja untuk buku ini dibuat bacaan tambahan.
Friday, February 20, 2015
HITAM PUTIH WAJAH ULAMA & PENGUASA
BONGKAR BUKU
SIRI: #4
TAJUK: HITAM PUTIH WAJAH ULAMA
& PENGUASA
PENULIS: ABDUL AZIZ AL-BADRI
(terj OLEH MUNIRUL ABIDIN)
PENERBIT: DARUL FALAH
RUMUSAN:
Antara buku yang terbaik yang pernah saya baca.
Bagi sesiapa yang nak tahu kisah para ulama yang hidup pada zaman pemerintahan
Islam dalam mendepani pemimpin yang zalim, buku ni sangat baik untuk dibaca.
Padat dengan kisah yang membangkitkan semangat dan kerohanian kita. Siapa baca
buku ni, pasti akan kata inilah contoh ulama yang mesti kita contohi.
Buku ini mendedahkan kisah dan nama-nama ulama yang
bila berhadapan dengan penguasa zalim mereka tetap istiqamah dalam kebenaran.
Walaupun mereka tahu mereka pasti dihukum kerana tidak sebulu dengan pemimpin,
namun mereka tetap cekal mempertahankan kebenaran. Ada yang dihina, dimalukan,
dipukul, dipenjara malah ada yang sampai dibunuh.
Kalau ikutkan, mereka bukanlah ulama picisan atau
pinggiran, tapi mereka ini merupakan ulama yang tersohor pada zamannya dan jika
mereka mengikut kezaliman pemerintah mereka pasti hidup senang lenang di dunia.
Namun, harta dunia tidak dapat memadamkan ketaqwaan di dalam dada-dada mereka
sehingga mereka tidak takut dengan ancaman dunia berbanding ancaman Allah di
akhirat kelak.
Sangat berbesar hati dapat menikmati karya hebat
ini dan mencadangkan kepada semua untuk turut sama berazam utk mengkaji buku
ini.
KOMEN:
Hampir saja saya
takda apa nak komen melainkan hanya bahasanya sahaja. Buku ini diterjemahkan
oleh saudara kita yang berkerakyatan indonesia jadi bahasanya cenderung kearah
sana tapi masih 95% mudah difahami. Selain itu buku ini sangat kurang dijual di
pasaran Malaysia. Namun saya ada mengenali mereka-mereka yang mempunyai
bekalan. Jika berminat boleh tinggalkan msg diruangan komen dan saya akan
berikan nombornya secara personal.
RATING:
Sangat baik dan
berharap lebih banyak dijual di pasaran Malaysia.
Subscribe to:
Comments (Atom)








.jpg)
