Tuesday, February 24, 2015

CARA BIJAK RASULULLAH SAW DALAM MENDIDIK ANAK

BONGKAR BUKU
SIRI: #8
TAJUK: CARA BIJAK RASULULLAH SAW DALAM MENDIDIK ANAK
PENULIS: NUR KHOLISH RIF’ANI
PENERBIT: PERNIAGAAN JAHABERSA

RUMUSAN:
Buku ini bagi saya matlamatnya sama dengan buku “Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik” tapi pendekatannya berbeza. Kalau buku HCRM lebih menfokuskan dalam konteks menyampaikan ilmu, tapi buku CBRDMA ni lebih menumpu dan lebih fokus kepada sesuatu isu. Apa isunya? Isunya memfokuskan kearah pembentukan anak yang soleh.
Buku ini menitipkan penumpuan pendidikan secara peringkat usia iaitu dari peringkat benih dipancarkan ke dalam rahim sehinggalah seorang anak itu berusia 18 tahun. Peranan ibu dan bapa dalam mengembangkan intelektual dan ke-solehan seorang anak itu juga ada disentuh di dalam buku ini secara terperinci. Setiap darinya di hadirkan dengan sokongan dalil dari alQuran dan hadith rasulullah saw dan ianya bagi saya sangat bertepatan.
Penulis begitu teliti dalam menjelaskan kaedah pendidikan yang selari dengan tuntutan islam dalam membentuk seorang anak yang soleh dan solehah. Selain itu ia memberi banyak input kepada ibu dan bapa dalam mengenal karekter anak dalam mendidik mereka. Tahap pendidikan di pecah kan mengikut usia anak dan setiap tahap usia, cara didikannya juga berbeza. Dan buku ini telah memberi formulanya untuk setiap tahapan usia dan ianya sangat baik untuk dirujuk.
Antara bahagian buku ini yang paling saya minati  ialah bab dimana penulis menyentuh jenis-jenis keperibadian anak yang mana beliau pecahkan kepada beberapa jenis iaitu kolerik, sanguinik, melankolik dan phlegmatik. Ini merupakan perkara baru bagi saya dan ia sangat bermanfaat untuk saya memahami karakter seseorang anak. Tahniah buat penulis dengan penghasilan beliau.

KOMEN:
                Tak banyak yang boleh saya komen kerana buku ini bersesuaian dengan tajuk dan cara penulisannya. Maklumat yang diberi juga sangat mudah difahami dan tidak meletakkan sebarang istilah-istilah pelik yang memerlukan pembaca untuk membuat rujukan ditempat lain pula.
                Hanya pun kalau ada ialah penggunaan ayat al-quran yang berulang-ulang dalam menjelaskan sesuatu perkara atau keadaan. Penulis menggunakan ayat 6 dari surah at-tahrim berulang-ulang kali pada perbincangan yang sama. Namun tidak memberi sebarang masalah dalam pembacaan.

RATING:

                Buku yang baik untuk pembacaan dan rujukan dan saya yakin ia akan menjadi pelaburan yang berbaloi-baloi.

Monday, February 23, 2015

MOTIVASI NAFSIYAH

BONGKAR BUKU
SIRI: #7
TAJUK: MOTIVASI NAFSIYAH – PENGOKOH JIWA NAN GUNDAH
PENULIS: M. RAHMAT KURNIA DAN M. IWAN JANUAR
PENERBIT: AL AZHAR FRESH ZONE PUBLISHING

RUMUSAN:
Tak banyak buku macam ni di pasaran Malaysia tapi bukanlah bermakna takda. Ada, Cuma kurang. Di Malaysia banyak buku berbentuk motivasi tapi tidak banyak yang bersifat mengukuh, cuma bersifat membangkitkan sahaja. Setelah baca, selang beberapa hari dah sejuk balik. Buku ni lain la. Walaupun tajuknya guna perkataan motivasi, tapi hala tuju penulisannya lebih bersifat mengukuh.
Dalam topik menikmati kekhusyukan solat misalnya, kita bukan sekadar diceritakan apa itu khusyuk, apa itu keindahan khusyuk tapi kita juga dipersembahkan dengan penelitian khusyuk. Penelitian dari setiap gerak geri kita dari sebelum kita nak solat, ambil wudhu, ketika solat dan sampailah kita selesai solat. Jadi ini sangat asing dalam penulisan di Malaysia. Oh ya, sebelum terlupa, buku ni di tulis oleh warga indonesia.
Mungkin ada yang masih belum biasa dengan perkataan nafsiyah. Nafsiyah ni merujuk kepada pola sikap seseorang. Jadi sikap seseorang ini kalau difahami dengan sebenar-benarnya merupakan suatu yang boleh dikawal dan dipandu. Kita semua ada pola sikap masing-masing. Yang membezakan kita adalah, apa yang memandu pola sikap kita tadi. Adakah kita dipandu oleh islam atau bukan? Kalau nak tahu bagaimana untuk memahami apa itu pola sikap atau nafsiyah, tuan-tuan kena belajar la.
Jadi buku ni merupakan satu bentuk motivasi kepada kita untuk bersikap sebagaimana sikap yang sebenar selain daripada ia memberi keyakinan kepada kita untuk tetap istiqamah dalam membentuk pola sikap kita mengikut landasan yang betul.

KOMEN:
                Saya sangat menggemari buku ini dan saya yakin, kepada sesiapa saja yang membacanya pasti akan menemukan sesuatu yang baik dari buku ini. Setiap buku pasti ada kelemahannya, cuma yang ini pada saya tidak begitu ketara kelemahannya, tak tahulah kepada pembaca yang lain. Buku ni juga dicetak di indonesia dan yang menariknya, buku ini ada 252 m/s tapi sangat ringan.
                Saiz font dan spacing yang digunakan juga sangat membantu dalam pembacaan. Tidak terlalu crowded dan menyesakkan.

RATING:

                Buku yang baik bagi mempersiapkan diri para muslim untuk menjadi muslim yang baik dan berakhlak mulia. Boleh saja menjadi titik kebangkitan nafsiyah islamiyah di dalam diri setiap muslim.

Sunday, February 22, 2015

HEBATNYA CARA RASULULLAH MENDIDIK


BONGKAR BUKU
SIRI: #6
TAJUK: HEBATNYA CARA RASULULLAH MENDIDIK
PENULIS: RAZALI SAARAN
PENERBIT: MUST READ SDN BHD

RUMUSAN:
Semua sudah maklum bahawa cara rasulullah saw mendidik itu hebat, jadi penggunaan tajuk ni saya rasa berlaku duplikasi fakta. Walau bagaimanapun, tu je bagi saya yang agak sedikit defect sebab bila baca ternyata di dalamnya sangat memberi kesan. Jika kita baca tajuk sahaja, mungkin ramai yang menyangka sudah mengetahui apa yang diceritakan, tapi percayalah, isinya tak sama macam yang kita rasa.
Misalnya begini ya, semuanya tahu bahawa rasulullah itu akhlaknya sangat baik, tapi bagaimana yang dikatakan baik tu? Lain orang lain tafsirannya. Persoalannya, yang mana satu tafsiran yang tepat? Ha! Macam tu lah keadaannya buku ni dan saya dapati cara penafsiran yang dilakukan sangat baik.
Baiklah, memang sukar untuk kita membentuk seorang guru yang baik dalam keadaan sekarang. Keadaan dimana segala-galanya lebih memfokuskan kepada material sehingga guru juga melakukan sesuatu tugas juga atas dasar keuntungan. Guru yang saya maksudkan bukan hanya guru di sekolah atau pusat pengajian ya, seorang ibu dan bapa juga merupakan guru. Tapi seorang guru mesti memberi lebih tumpuan la sebab awak semua memang sudah berada di dalam bidang tersebut.
Baiknya buku ini ialah, ia membongkar sisi lain kefahaman kita sebagai pendidik. Kalau sebelum ni kita lakukan satu-satu perkara kerana manfaat dunia, kini kita lakukan kerana adanya manfaat akhirat. Dan yang paling penting ialah bila kita sedar bahawa kita melakukannya kerana ia adalah tanggungjawab yang telah diamanahkan. Jika ini sikap para pendidik, saya yakin, para penuntut pasti akan mendapat untung darinya.
Buku ini membentang banyak kriteria pendidik sebagaimana yang dipraktikkan oleh rasul saw, dan penjelasannya juga sangat detail. Sekiranya para pendidik merasakan perlu untuk menjadi pendidik yang sebenar maka buku ini boleh dijadikan rujukan. Jadi, bertindaklah sebagaimana yang kalian rasa perlu dan penting.


KOMEN:
                Baik kupasannya cuma tajuk sahaja bagi saya sedikit tidak tepat sebagaimana saya nyatakan diatas tadi. Selain itu, saya tak rasa ada banyak yang perlu dikomenkan. Cuma satu yang saya nak cadangkan ialah supaya penulis menyambung karyanya ini. Tapi kali ini fokus kepada ilmu yang rasul saw ajarkan kepada para sahabat pulak. Kupas idea yang dibawa oleh islam dalam isu pendidikan. Kerana bagi pendapat saya, jika pendidik memiliki kaedah mengajar dengan baik, tapi ilmu yang diajar itu tidak sebagaimana yang islam ajarkan, sudah pasti tidak mendatangkan manfaat yang besar kepada penuntutnya.

RATING:

                Buku yang baik bagi mempersiapkan diri para pendidik sebelum benar-benar terjun dalam bidang pendidikan. Yang bakal jadi ibu dan bapa juga bagi saya mesti baca buku ni.

ASMAUL HUSNA - APA YANG PERLU ANDA TAHU

BONGKAR BUKU
SIRI: #5
TAJUK: ASMAUL HUSNA – APA YANG PERLU ANDA TAHU
PENULIS: MOHD SYAMIL MOHD YUSUFF
PENERBIT: MUST READ SDN BHD

RUMUSAN:
Entah dimana nak mula pun saya tak tahu sebenarnya. Selesai membaca buku ni saya terfikir, adakah hanya saya yang merasakan begitu atau ada juga orang lain merasakan perkara yang sama. Terlalu banyak persoalan yang dilemparkan oleh penulis di dalam buku ini. Saya secara peribadi amat suka buku yang ada timbulkan persoalan-persoalan sebegitu, sebab umpamanya kita sedang berinteraksi dengan penulis. Cuma masalah saya tentang buku ini ialah, ia tidak memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan yang ditimbulkan. Makanya kita tak dapat nak tahu samada penulis memang ada jawapannya atau tidak.
Buku ni penuh dengan contoh-contoh yang diambil dari penulisan penulis atau tokoh-tokoh profesional. Sudah selayaknya lah begitu sebab ia untuk menyokong hujah yang kita sampaikan. Cuma masalah saya ialah contoh-contoh yang digunakan banyaknya datang dari tokoh dan penulis barat, sedangkan tokoh dan penulis islam juga ada ramai dan karya mereka sebenarnya jauh lebih baik berbanding karya orang barat ni. Tokoh-tokoh berjaya pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat ra juga sangat banyak dan berkualiti. Jadi dalam kita nak cerita tentang nama-nama Allah ni, selayaknya tokoh-tokoh ilmuan islam inilah yang sepatutnya diangkat oleh penulis.
Terdapat beberapa perkara yang saya rasa agak tergantung, seperti perbincangan tentang topik “Bagaimana 99 ‘Habits’ Benar-benar Universal?” Topik ini tidak dibincang dengan lengkap. Saya secara peribadi merasa sedikit keliru dengan contoh tentang sebuah keluarga yang nak keluar pagi untuk menjalankan aktiviti harian tiba-tiba timbul perkara-perkara yang menyebabkan mereka lewat ke tempat urusan masing-masing. Anak lambat sampai sekolah, ibu dan bapa ada masalah dalam nak menyampaikan diri di pejabat jadi saya tidak nampak apa relevannya kisah itu. Penulis sepatutnya guna contoh yang lebih berimpak tinggi seperti kisah nabi dan kisah para sahabat. Banyak lagi sebenarnya contoh yang ada diluar sana untuk menjadi dokumen sokongan, tapi perlu kepada pengkajian yang lebih detail lagi.
Cuma satu je, dalam buku ini aspek susunan kata boleh dipuji. Cuma kata-katanya sahaja bagi saya secara peribadi sukar untuk hadam. Apa-apa hal pun, effort yang baik tapi perlu diperkemaskan lagi.



KOMEN:
                Hampir sahaja saya ada perasaan menyesal membaca buku ini. Namun saya keraskan juga iltizam dan alhamdulillah buku ni dapat saya habiskan. Mengangkat orang barat sebagai contoh untuk diteladani bagi saya bukan langkah yang wajar. Kajilah buku-buku penulisan daripada ilmuan islam yang banyak terdapat di pasaran dan gunakan agar islam tidak hanya tinggal pada ilmu pengetahuan sahaja, tetapi juga ilmu yang bermanfaat. Apatah lagi, topik kupasan adalah berkenaan dengan nama-nama Allah (Asmaulhusna), maka selayaknyalah diangkat tokoh dari kalangan umat Islam itu sediri.
                Selain itu, terdapat beberapa aspek asas yang diselitkan tidak selari dengan pandangan yang saya pegang yang saya fikir lebih kuat. Tapi bagi saya selagi mana ada dalil dari alquran dan assunnah sebagai sandaran walaupun lemah, bagi saya kita patut berlapang dada.

RATING:

                Saya tidak rekemen untuk buku ini dijadikan sebagai pilihan utama. Tapi kalau dah habis segala buku dibaca, boleh sahaja untuk buku ini dibuat bacaan tambahan.

Friday, February 20, 2015

HITAM PUTIH WAJAH ULAMA & PENGUASA

BONGKAR BUKU
SIRI: #4
TAJUK: HITAM PUTIH WAJAH ULAMA & PENGUASA
PENULIS: ABDUL AZIZ AL-BADRI (terj OLEH MUNIRUL ABIDIN)
PENERBIT: DARUL FALAH

RUMUSAN:
Antara buku yang terbaik yang pernah saya baca. Bagi sesiapa yang nak tahu kisah para ulama yang hidup pada zaman pemerintahan Islam dalam mendepani pemimpin yang zalim, buku ni sangat baik untuk dibaca. Padat dengan kisah yang membangkitkan semangat dan kerohanian kita. Siapa baca buku ni, pasti akan kata inilah contoh ulama yang mesti kita contohi.
Buku ini mendedahkan kisah dan nama-nama ulama yang bila berhadapan dengan penguasa zalim mereka tetap istiqamah dalam kebenaran. Walaupun mereka tahu mereka pasti dihukum kerana tidak sebulu dengan pemimpin, namun mereka tetap cekal mempertahankan kebenaran. Ada yang dihina, dimalukan, dipukul, dipenjara malah ada yang sampai dibunuh.
Kalau ikutkan, mereka bukanlah ulama picisan atau pinggiran, tapi mereka ini merupakan ulama yang tersohor pada zamannya dan jika mereka mengikut kezaliman pemerintah mereka pasti hidup senang lenang di dunia. Namun, harta dunia tidak dapat memadamkan ketaqwaan di dalam dada-dada mereka sehingga mereka tidak takut dengan ancaman dunia berbanding ancaman Allah di akhirat kelak.
Sangat berbesar hati dapat menikmati karya hebat ini dan mencadangkan kepada semua untuk turut sama berazam utk mengkaji buku ini.



KOMEN:
                Hampir saja saya takda apa nak komen melainkan hanya bahasanya sahaja. Buku ini diterjemahkan oleh saudara kita yang berkerakyatan indonesia jadi bahasanya cenderung kearah sana tapi masih 95% mudah difahami. Selain itu buku ini sangat kurang dijual di pasaran Malaysia. Namun saya ada mengenali mereka-mereka yang mempunyai bekalan. Jika berminat boleh tinggalkan msg diruangan komen dan saya akan berikan nombornya secara personal.
                               
RATING:

                Sangat baik dan berharap lebih banyak dijual di pasaran Malaysia.

Tuesday, February 17, 2015

IKRAM MA'ANA (NAIKLAH BERSAMA KAMI) - BAHTERA MENUJU SYURGA

BONGKAR BUKU
SIRI: #3
TAJUK: IKRAM MA’ANA(NAIKLAH BERSAMA                           KAMI)-BAHTERA MENUJU KE SYURGA
PENULIS: HILAL ASYRAF
PENERBIT: PTS MILLENNIA SDN BHD

RUMUSAN:
Pada awalnya saya membaca tajuk buku ni sangkaan saya sesuai untuk mencari maklumat berkenaan syurga. Tapi jelas sekali tidak begitu. Tajuk tu dipilih pada pandangan saya ialah kerana penulis nak cerita pasal proses atau metod untuk ke syurga. Dari buku ni kita boleh nampak bahawa untuk masuk syurga tu caranya bukan lagi rahsia. Cuma kita mahu atau tidak je.
Kupasan lebih menjurus kepada perkara-perkara yang mesti dibuat atau dilalui oleh setiap dari orang yang mahu ke syurga. Ia diolah baik dari sisi penulis kerana mungkin sahaja dia telah memiliki ilmunya. Tapi bagi yang belum benar-benar kuat pemahaman ilmunya, nasihat saya kalau nak baca buku ni mesti ada guru yang boleh menjelaskan maksud-maksud tersirat di dalamnya.
Takut sebenarnya nak ulas buku ni sebab membaca tajuk-tajuk bab nya sahaja hati dah merasa gundah. Disini saya kongsikan beberapa tajuk bab yang digunakan oleh penulis, mungkin sidang pembaca boleh nilai sendiri.
·         Kami Bersyukur Allah Tuhan Kami
·         Ketakutan kami istimewa
·         Kami hidup hingga kami mati
·         Walaupun kami bersendirian proses tetap berjalan
·         Kami adalah yang asing
·         Kami tidak menanti sempurna
·         Dan banyak lagi, ada 33 bab semuanya
Buku ini secara umumnya berusaha untuk menyedarkan umat islam khususnya, untuk
kembali kepada islam yang sebenar dalam konteks kehidupan. Penulis sebenarnya mengajak umat Islam untuk bangkit dari zon selesa hidup sedia ada kepada hidup yang membolehkan seseorang itu layak untuk ke syurga. Adakah hidup selesa menjamin ke neraka? Ha! yang itu nak tahu kena baca. Tapi kalau base on apa yang di tulis di dalam buku ni, umat islam terdahulu yang diyakini kehebatannya seperti para sahabat, ulama-ulama terulung malah para nabi dan rasul, tidak ada yang hidup selesa dalam mengembangkan agama Allah. Jadi kalau kelompok yang confirm masuk syurga hidupnya tidak bermewah-mewah dan selesa, macam mana pula kita yang belum tentu masuk, tapi tidak lah pula penulis mencadangkan kita untuk hidup merempat.
                Kalau nak tahu lebih detail memang kena baca la.



KOMEN:
                Tajuk dan gaya penulisan seharusnya dipermudahkan sedikit untuk memudahkan orang umum membacanya. Jika kupasan sebegini, pembaca mesti mencari sumber lain dalam mentafsir apa yang mereka baca. Kerana lain orang akan lain juga pemahamannya. Maksud “baik” yang cuba disampaikan juga boleh di interpretasikan dari sudut atau kaca mata yang berbeza dengan kehendak sebenar Islam.
                Saya tak rasa termotivasi dalam membaca isi dan maklumat yang banyak di dalam buku ni walaupun buku ni dikategorikan dalam kategori buku motivasi, tapi saya sedikit tersentap masa baca bab-bab akhir yang membincangkan tentang para nabi dan rasul yang diakhiri dengan kisahnya saidina Bilal r.a. Pembacaan dalam bab-bab akhir itu lebih memotivasikan berbanding topik-topik awal.
                               
RATING:

                Buku seperti ini saya rasakan banyak saingan dan pilihan, jadi untuk penggemar buku gaya begini, perlu ada rujukan lain bagi membantu memahami pembacaan. Memang nampak simple bukunya tapi jangan disimplekan.

Monday, February 16, 2015

SEJARAH KHALIFAH RASULULLAH

BONGKAR BUKU
SIRI: #2
TAJUK: SEJARAH KHALIFAH RASULULLAH (AL-KHULAFA’ AR-RASYIDUN:A’MAL WA AHDAS)
PENULIS: PROF. DR. AMIN QUDAH (terj OLEH PROF DR ZULKIFLI MOHD YUSOFF)
PENERBIT: PTS ISLAMIKA

RUMUSAN:
Walaupun tajuk buku ini sedikit mengelirukan namun isinya lansung tidak diragui. Integriti hujah sangat baik memandangkan rujukan-rujukan yang digunakan juga merupakan rujukan-rujukan yang kuat dalam membahaskan perihal sirah ini. Terdapat banyak buku yang membincangkan tentang peristiwa sirah kenabian dan para sahabat di pasaran. Walaupun tidak banyak percanggahan tapi tetap juga kita mesti berhati-hati dalam mengambil sebarang iktibar darinya sebab ada diantara kisah sirah ini mempunyai nilai hukum yang dituntut.
Buku ini sememangnya perlu dihayati oleh setiap kaum muslim bagi mendapatkan idea tentang pemerintahan dan pemerintah islam. Isi buku ini tidak boleh dilihat hanya pada sudut ilmiah sahaja tapi juga sudut hukum yang menuntut kita untuk melaksanakannya. Namun begitu saya tidaklah mahu menghurai lebih kepada aspek tersebut.
Segala pengorbanan dan sumbangan para khulafa ar-rasyidin sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Hanya yang tinggal adalah bagaimana kita hendak menghayati dan menterjemahkannya ke dalam realiti kita sekarang. Secara jujur saya mengatakan buku ini mampu memberikan elemen emosi dan penghayatan tersebut. Penggunaan bahasa yang tidak terlalu sukar untuk difahami menjadikannya lebih menarik.


KOMEN:
                Jika penulis menambahkan sedikit hala tuju buku ini bagi saya lebih memberi kesan. Buat masa ni pembaca hanya akan sekadar membaca dan melihat isinya sebagai ulasan sejarah semata-mata. Hala tujunya jika difokuskan dalam membangkitkan umat atau sebagainya mungkin dapat memberi kesan yang lebi positif kepada pembaca dan masyarakat amnya.
                Pilihan tajuk juga mungkin boleh diperbaiki kerana sedikit mengelirukan. Keliru samada ingin menceritakan tantang rasulullah sebagai khalifah (sedangkan baginda saw adalah nabi) atau pun hendak menceritakan tentang manusia sebagai khalifah yang mesti mengikut cara rasulullah saw. Tapi pengisiannya baik.

RATING:

                Buku ini saya letakkan dalam kategori buku ilmiah yang perlu ada disetiap rumah sebagai sumber rujukan setiap orang dan bagi saya sangat baik sebagai bacaan wajib setiap orang.

Sunday, February 15, 2015

12 TOKOH PENGUBAH DUNIA


BONGKAR BUKU
SIRI: #1
TAJUK: 12 TOKOH PENGUBAH DUNIA
PENULIS: KHALID HADDAD
PENERBIT: MUSTREAD SDN BHD

RUMUSAN:
Buku ini banyak pengetahuan am yang mampu memberikan input kepada pembaca.  Gaya olahan yang agak terperinci menjadikan buku ini sarat dengan maklumat berbentuk ilmiah. Kepada penggemar bacaan santai, buku ini bukanlah pilihan yang terbaik kerana maklumatnya yang terlalu banyak sememangnya sukar untuk dicerap dalam sekali pembacaan sahaja. Namun begitu, buku ini sangat berguna sebagai rujukan untuk mereka-mereka yang mahu melakukan kajian akademik dan untuk membincangkan perkembangan ilmu dari dahulu sehinggalah sekarang.
Pada pandangan saya juga, buku ini merupakan satu pembongkaran kepada maklumat sejarah yang biasa kita dengar. Kebiasaannya, sejarah ilmu ini banyak dirujuk kepada ilmuan barat yang dikatakan pencetus kepada perkembangan ilmu, namun kini, sedikit sebanyak terjawap dengan adanya penulisan dari Khalid Haddad ini. Masyarakat islam selayaknya merasa malu sekiranya selama ini mereka menyanjung ilmuan barat sedangkan ilmuan islam lebih awal lagi mengeluarkan penemuan-penemuan intelektual dalam bidang mereka masing-masing.

KOMEN:
                Jika penulis menambah lebih banyak visual dan grafik, saya yakin buku ini akan menjadi lebih menarik. Buku berbentuk biografi sebegini memang perlu kepada daya penarik sebab ada kalanya ianya agak membosankan kerana pembaca tidak hidup pada zaman tersebut dan rata-rata pembaca di Malaysia saya yakin tidak pernah pergi ke kawasan-kawasan tempat tinggal tokoh-tokoh tersebut.
                Visual dalam bentuk garis masa, objek ciptaan dan geografi penempatan mungkin dapat membantu dalam memahami bahan yang mahu disampaikan. Penambahan visual dari segi rumah penginapan tokoh-tokoh, kawasan-kawasan yang biasa dilawati oleh tokoh, tempat tokoh belajar dan sebagainya menjadikan pembaca akan lebih rasa dekat dengan tokoh tersebut.

RATING:

                Buku ini saya letakkan dalam kategori buku ilmiah yang perlu ada disetiap rumah sebagai sumber rujukan setiap orang.